KEGELAPAN

kegelapan merupakan satu suasana yang kelam dan tiada cahaya, suasana yang gelap penuh dengan dugaan dan halangan yang berliku. Orang-orang yang berjalan di dalam kegelapan pasti menemui kesesatan..

Pages

Kisah Nabi Allah Idris a.s

Tidak banyak keterangan yang didapati tentang kisah Nabi Idris di dalam Al-Quran mahupun dalam kitab-kitab Tafsir dan kitab-kitab sejarah nabi-nabi.Di dalam Al-Quran hanya terdapat dua ayat tentang Nabi Idris iaitu dalam surah Maryam ayat 56 dan 57: "Dan ceritakanlah { hai Muhammad kepada mereka , kisah } Idris yang terdapat tersebut di dalam Al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi. 57 - Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi." { Maryam : 56 - 57 }
Nabi Idris adalah keturunan keenam dari Nabi Adam a.s. putera dari Yarid bin Mihla'iel bin Qinan bin Anusy bin Syith bin Adam A.S. dan adalah keturunan pertama yang dikurniai kenabian menjadi Nabi setelah Adam dan Syith. Menurut kitab tafsir 1000 tahun selepas Nabi Adam a.s wafat.
Nabi Idris dianugerahkan kepandaian di dalam pelbagai disiplin ilmu kemahiran serta mencipta peralatan yang digunakan manusia sekarang ini seperti penulisan, matematik, astronomi, dan lain-lain lagi. Menurut sebuah kisah, terdapat satu masa di mana kebanyakan manusia telah melupakan tuhan, dan bumi telah dihukum dengan kemarau. Walaubagaimanapun, Nabi Idris a.s. telah berdoa ke hadrat Allah s.w.t. dan berakhirlah musim kemarau tersebut dengan turunnya hujan.
Nabi Idris menurut sementara riwayat bermukim di Mesir di mana ia berdakwah untuk agama Allah mengajarkan tauhid dan beribadat menyembah Allah serta memberi beberapa pendoman hidup bagi pengikut-pengikutnya agar menyelamat diri dari seksaan di akhirat dan kehancuran serta kebinasaan di dunia. Ia hidup sampai usia 82 tahun.
Menurut sebuah buku The Prophet of God Enoch: Nabiyullah Idris, Idris ialah nama Arab bagi Enoch. Beliau dinyatakan di dalam Al-Quran sebagai manusia yang dipilih oleh Allah s.w.t. sehingga beliau diangkat ke langit.
Satu kepercayaan yang tidak dipastikan kesahihannya mengatakan bahawa piramid telah dibina sebagai merujuk kepada Nabi Idris a.s., kerana di kawasan itulah di mana beliau diangkat ke langit.

Nabi Idris Naik Ke Langit
Diriwayatkan Nabi Idris as. telah naik ke langit pada hari Isnin. Peristiwa naiknya Nabi Idris as. ke langit ini, telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam Al-Quran. Firman Allah SWT bermaksud:
“Dan ceritakanlah (hai Muhammad kepada mereka) kisah, Idris yang tersebut di dalam Al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang Nabi. Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi.”
(Maryam: 56-57)
Nama Nabi Idris as. yang sebenarnya adalah ‘Akhnukh’. Sebab beliau dinamakan Idris, kerana beliau banyak membaca, mempelajari (tadarrus) kitab Allah SWT.
Setiap hari Nabi Idris menjahit qamis (baju kemeja), setiap kali beliau memasukkan jarum untuk menjahit pakaiannya, beliau mengucapkan tasbih. Jika pekerjaannya sudah selesai, kemudian pakaian itu diserahkannya kepada orang yang menempahnya dengan tanpa meminta upah. Walaupun demikian, Nabi Idris masih sanggup beribadah dengan amalan yang sukar untuk digambarkan. Sehingga Malaikat Maut sangat rindu berjumpa dengan beliau.
Kemudian Malaikat Maut bermohon kepada Allah SWT, agar diizinkan untuk pergi menemui Nabi Idris as. Setelah memberi salam, Malaikat pun duduk.
Nabi Idris as. mempunyai kebiasaan berpuasa sepanjang masa. Apabila waktu berbuka telah tiba, maka datanglah malaikat dari Syurga membawa makanan Nabi Idris, lalu beliau menikmati makanan tersebut.
Kemudian baginda beribadah sepanjang malam. Pada suatu malam Malaikat Maut datang menemuinya, sambil membawa makanan dari Syurga. Nabi Idris menikmati makanan itu. Kemudian Nabi Idris berkata kepada Malaikat Maut: “Wahai tuan, marilah kita nikmati makanan ini bersama-sama.” Tetapi Malaikat itu menolaknya.
Nabi Idris terus melanjutkan ibadahnya, sedangkan Malaikat Maut itu dengan setia menunggu sampai terbit matahari. Nabi Idris merasa hairan melihat sikap Malaikat itu.
Kemudian beliau berkata: “Wahai tuan, mahukah tuan bersiar-siar bersama saya untuk melihat keindahan alam persekitaran? Malaikat Maut menjawab: Baiklah Wahai Nabi Allah Idris.”
Maka berjalanlah keduanya melihat alam persekitaran dengan berbagai jenis tumbuh-tumbuhan hidup di situ. Akhirnya ketika mereka sampai pada suatu kebun, maka Malaikat Maut berkata kepada Nabi Idris as.: “Wahai Idris, adakah tuan izinkan saya untuk mengambil ini untuk saya makan? Nabi Idris pun menjawab: Subhanallah, mengapa malam tadi tuan tidak mahu memakan makanan yang halal, sedangkan sekarang tuan mahu memakan yang haram?”
Kemudian Malaikat Maut dan Nabi Idris meneruskan perjalanan mereka. Tidak terasa oleh mereka bahawa mereka telah bersiar-siar selama empat hari. Selama mereka bersahabat, Nabi Idris menemui beberapa keanehan pada diri temannya itu. Segala tindak-tanduknya berbeza dengan sifat-sifat manusia biasa. Akhirnya Nabi Idris tidak dapat menahan hasrat ingin tahunya itu.
Kemudian beliau bertanya: “Wahai tuan, bolehkah saya tahu, siapakah tuan yang sebenarnya? Saya adalah Malaikat Maut.”
“Tuankah yang bertugas mencabut semua nyawa makhluk?”
“Benar ya Idris.”
“Sedangkan tuan bersama saya selama empat hari, adakah tuan juga telah mencabut nyawa-nyawa makhluk?”
“Wahai Idris, selama empat hari ini banyak sekali nyawa yang telah saya cabut. Roh makhluk-makhluk itu bagaikan hidangan di hadapanku, aku ambil mereka bagaikan seseorang sedang menyuap-nyuap makanan.”
“Wahai Malaikat, apakah tujuan tuan datang, apakah untuk ziarah atau untuk mencabut nyawaku?”
“Saya datang untuk menziarahimu dan Allah SWT telah mengizinkan niatku itu.”
“Wahai Malaikat Maut, kabulkanlah satu permintaanku kepadamu, iaitu agar tuan mencabut nyawaku, kemudian tuan mohonkan kepada Allah agar Allah menghidupkan saya kembali, supaya aku dapat menyembah Allah Setelah aku merasakan dahsyatnya sakaratul maut itu.”
Malaikat Maut pun menjawab: “Sesungguhnya saya tidaklah mencabut nyawa seseorang pun, melainkan hanya dengan keizinan Allah.”
Lalu Allah SWT mewahyukan kepada Malaikat Maut, agar ia mencabut nyawa Idris as. Maka dicabutnyalah nyawa Idris saat itu juga. Maka Nabi Idris pun merasakan kematian ketika itu.
Di waktu Malaikat Maut melihat kematian Nabi Idris itu, maka menangislah ia. Dengan perasaan hiba dan sedih ia bermohon kepada Allah supaya Allah menghidupkan kembali sahabatnya itu. Allah mengabulkan permohonannya, dan Nabi Idris pun dihidupkan oleh Allah SWT kembali.
Kemudian Malaikat Maut memeluk Nabi Idris, dan ia bertanya: “Wahai saudaraku, bagaimanakah tuan merasakan kesakitan maut itu? Bila seekor binatang dilapah kulitnya ketika ia masih hidup, maka sakitnya maut itu seribu kali lebih sakit daripadanya. Padahal-kelembutan yang saya lakukan terhadap tuan, ketika saya mencabut nyawa tuan itu, belum pernah saya lakukan terhadap sesiapa pun sebelum tuan. Wahai Malaikat Maut, saya mempunyai permintaan lagi kepada tuan, iaitu saya sungguh-sungguh berhasrat melihat Neraka, supaya saya dapat beribadah kepada Allah SWT lebih banyak lagi, setelah saya menyaksikan dahsyatnya api neraka itu. Wahai Idris as. saya tidak dapat pergi ke Neraka jika tanpa izin dari Allah SWT.”
Akhirnya Allah SWT mewahyukan kepada Malaikat Maut agar ia membawa Nabi Idris ke dalam Neraka. Maka pergilah mereka berdua ke Neraka. Di Neraka itu, Nabi Idris as. dapat melihat semua yang diciptakan Allah SWT untuk menyiksa musuh-musuh-Nya. Seperti rantai-rantai yang panas, ular yang berbisa, kala, api yang membara, timah yang mendidih, pokok-pokok yang penuh berduri, air panas yang mendidih dan lain-lain.
Setelah merasa puas melihat keadaan Neraka itu, maka mereka pun pulang. Kemudian Nabi Idris as. berkata kepada Malaikat Maut: “Wahai Malaikat Maut, saya mempunyai hajat yang lain, iaitu agar tuan dapat menolong saya membawa masuk ke dalam Syurga. Sehingga saya dapat melihat apa-apa yang telah disediakan oleh Allah bagi kekasih-kekasih-Nya. Setelah itu saya pun dapat meningkatkan lagi ibadah saya kepada Allah SWT. Saya tidak dapat membawa tuan masuk ke dalam Syurga, tanpa perintah dari Allah SWT.” Jawab Malaikat Maut.
Lalu Allah SWT pun memerintahkan kepada Malaikat Maut supaya ia membawa Nabi Idris masuk ke dalam Syurga.
Kemudian pergilah mereka berdua, sehingga mereka sampai di pintu Syurga dan mereka berhenti di pintu tersebut. Dari situ Nabi Idris dapat melihat pemandangan di dalam Syurga. Nabi Idris dapat melihat segala macam kenikmatan yang disediakan oleh Allah SWT untuk para wali-waliNya. Berupa buah-buahan, pokok-pokok yang indah dan sungai-sungai yang mengalir dan lain-lain.
Kemudian Nabi Idris berkata: “Wahai saudaraku Malaikat Maut, saya telah merasakan pahitnya maut dan saya telah melihat dahsyatnya api Neraka. Maka mahukah tuan memohonkan kepada Allah untukku, agar Allah mengizinkan aku memasuki Syurga untuk dapat meminum airnya, untuk menghilangkan kesakitan mati dan dahsyatnya api Neraka?”
Maka Malaikat Maut pun bermohon kepada Allah. Kemudian Allah memberi izin kepadanya untuk memasuki Syurga dan kemudian harus keluar lagi. Nabi Idris pun masuk ke dalam Syurga, beliau meletakkan kasutnya di bawah salah satu pohon Syurga, lalu ia keluar kembali dari Syurga. Setelah beliau berada di luar, Nabi Idris berkata kepada Malaikat Maut: “Wahai Malaikat Maut, aku telah meninggalkan kasutku di dalam Syurga.
Malaikat Maut pun berkata: Masuklah ke dalam Syurga, dan ambil kasut tuan.”
Maka masuklah Nabi Idris, namun beliau tidak keluar lagi, sehingga Malaikat Maut memanggilnya: “Ya Idris, keluarlah!. Tidak, wahai Malaikat Maut, kerana Allah SWT telah berfirman bermaksud:
“Setiap yang berjiwa akan merasakan mati.”
(Ali-Imran: 185)
Sedangkan saya telah merasakan kematian. Dan Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan tidak ada seorang pun daripadamu, melainkan mendatangi Neraka itu.”
(Maryam: 71)
Dan saya pun telah mendatangi Neraka itu. Dan firman Allah lagi yang bermaksud:
“... Dan mereka sekali-kali tidak akan dikeluarkan daripadanya (Syurga).”
(Al-Hijr: 48)
Maka Allah menurunkan wahyu kepada Malaikat Maut itu: “Biarkanlah dia, kerana Aku telah menetapkan di azali, bahawa ia akan bertempat tinggal di Syurga.”
Allah menceritakan tentang kisah Nabi Idris ini kepada Rasulullah SAW dengan firman-Nya bermaksud:
“Dan ceritakanlah (hai Muhammad kepada mereka, kisah) Idris yang tersebut di dalam Al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang Nabi. Dan kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi.” (Maryam: 56-57)

BANJIR

BANJIR
Yaman adalah salah satu dari negara-negara Arab yang tersubur. Banyak turun hujan dan tanahnya bergunung ganang. Tumbuh di situ berbagai tumbuh-tumbuhan yang jarang terdapat di negara-negara Arab lainnya. Di daerah Yaman yang subur itu, berdirilah sebuah negara yang maju dan makmur, yang dinamai Negara Saba'. Kerana kesuburan tanah dan kepintaran penduduknya negara yang kecil ini, lama-kelamaan bertambah luas juga daerahnya. Banyak penduduknya, makmur dan maju dalam segala-galanya. Kota Syirwah yang mulanya kecil dan sepi saja, tidak lama kemudian dapat mereka jadikan kota besar yang penuh dengan gedung-gedung dan rumah-rumah yang bagus dan teratur, sehingga kota ini mereka jadikan ibunegerinya. Kemudian ibunegeri ini berpindah pula ke kota Ma'rib, yang jauh lebih teratur dan moden daripada kota Syirwah.

Satu hal yang selalu menjadi masalah sulit bagi teknik bangsa Saba'; iaitu air hujan yang banyak turun di negeri itu, tidak lama dapat menggenangi negeri mereka, kerana letak negeri itu yang tinggi. Sebentar saja sesudah hujan-hujan besar itu, semua air lalu mengalir ke negeri-negeri lain yang berdekatan dengan negeri Saba', yang umumnya terdiri dari padang pasir. Bila sudah mengalir ke padang pasir, maka dalam sebentar waktu saja air itu segera lenyap masuk pasir.

Air hujan yang sangat berguna itu sebentar saja dapat membasahi dan menggenangi negeri Saba' itu.

Ahli-ahli pengairan bangsa Saba' tidak tinggal diam. Mereka selalu berfikir dan berikhtiar, dengan jalan bagaimanakah agar air hujan itu dapat dibendung jangan lekas mengalir ke daerah padang pasir.

Akhirnya mereka dapat akal. Antara gunung dengan gunung a mereka timbun hujung dan pangkalnya, sehingga air hujan tergenanglah di antara dua gunung itu dan air yang tergenang itu mereka alirkan ke tempat-tempat yang kekurangan air sekitar negeri mereka.

Setelah sebuah bendungan ini selesai dikerjakan dan mendatangkan faedah yang sangat baik kepada kemajuan pertanian dan kemakmuran negeri mereka, lalu dibangun pula bendungan yang kedua, ketiga dan seterusnya, sehingga dalam beberapa tahun saja, hampir semua gunung-gunung dan jurang-jurang yang terdapat di negeri Saba' itu menjadi empangan raksasa yang hebat dan sangat berfaedah, beratus-ratus buah jumlahnya.

Kemakmuran dan kesuburan negeri Saba' semakin maju dan semakin kayaraya.
Di antara empangan yang banyak ini, maka Empangan Ma'riblah yang terbesar dan terkokoh, sehingga menjadi masyhur sekali di seluruh dunia di kala itu dan sampai sekarang juga dalam sejarah.

Ilmu teknik bangsa Saba', lebih-lebih tentang pengairan, semakin meningkat tinggi yang menyebabkan kemajuan dan kemakmuran negeri semakin bertambah juga. Hampir setiap pelusok negeri Saba' terdiri dari kota yang cantik dengan rumah dan gedungnya yang bagus-bagus, dilingkari oleh perkebunan yang luas-luas, penuh dengan berbagai-bagai tanaman dan tumbuh-tumbuhan, kebun-kebun bunga dan lain-lainya.

Hasil bumi negeri Saba' mengalir ke seluruh pelosok tanah Arab dan negeri-negeri tetangga lainnya, sehingga kota-kota mereka selalu penuh dengan pedagang-pedagang yang datang dari luar negeri. Bukan saja dari daerah Hijaz, tetapi pula dari Tanah Syam dan Persia.

Ke Yaman (Saba')lah tujuan tiap pedagang dan pelancung untuk merasakan enaknya hawa dan segarnya buah-buahan, apa pula penduduknya yang baik budi, beriman kepada Allah, selalu hidup dalam aman dan tenteram. Negeri inilah yang dikatakan Tuhan dalam al-Quran: Baldatun Taiyibatun wa Rabbun Ghafur, iaitu negeri yang aman dan makmur, serta dilimpahi rahmat Allah.

Tetapi lama kelamaan keadaan bangsa Saba' berubah. Mereka mulai melupakan Tuhan atas segala nikmat yang mereka terima itu. Dahulu bibir dan lidah-lidah mereka tidak sunyi-sunyi mengucapkan syukur dan puji kepada Tuhan, yang telah melimpahi mereka serta negaranya, dengan rahmat dan nikmat itu. Tetapi sekarang, mereka seakan-akan tidak kenal lagi kepada Tuhan, hanya kenal kepada hartabenda dan kemewahan hidup saja.

Pelbagai kejahatan dan ragamnya mulai bermaharajalela di kalangan mereka, sehingga keamanan dan ketenteraman selama ini berubah menjadi kacau dan pergaduhan.

Allah lalu mengutus beberapa orang Nabi dan Rasul, untuk nenginsafkan mereka. Tetapi semua Nabi dan Rasul itu tidak mereka percayai, malah mereka berpaling tidak sudi mendengarkan fatwa dan nasihat-nasihatnya.

Setelah segala nasihat dan fatwa, serta semua tenaga yang dicurahkan para Nabi dan Rasul itu sudah tidak berguna lagi bagi mereka, maka Allah mengambil jalan lain, untuk membetulkan kesalahan dan kesesatan mereka. Jalan ini, ialah dengan mengganti semua rahmat dan nikmat itu dengan seksa dan azab.
Empangan-empangan yang besar dan kuat yang mereka perbuat dengan susah payah itu, runtuhlah; air bah mengalir ke kiri dan kanan, menumbangkan semua gedung-gedung dan rumah-rumah, mendatarkan semua perkebunan dan tanaman-tanaman yang penuh dengan buah-buahan.

Semua air bah itu menuju ke padang pasir yang ada di sekitar negeri Saba' dan meresap di tengah-tengah padang pasir. Negeri Saba' menjadi datar tak berair lagi, sehingga dalam sebentar waktu saja tanah yang subur dan bergunung-gunung itu menjadi padang pasir tandus, yang tidak dapat ditumbuhi tanaman-tanaman di atasnya, selain beberapa macam tumbuh-tumbuhan yang tak menghasilkan buah apa-apa.

Keadaan mereka pun kucar-kacir, terdampar sejauh-jauhnya di bawah air bah yang besar. Penduduk kampung Khassan terdampar ke daerah Syam, penduduk Juzan ke Tihamah, penduduk Azad ke Amman. Mereka benar-benar kucar-kacir, yang sampai sekarang hanya tinggal cerita dan riwayatnya saja. Beginilah balasannya bagi sesiapa yang tidak pandai mesyukuri nikmat dan pemberian Allah terhadap diri, negeri dan bangsanya. Allah tidak menyeksa manusia, kalau manusia itu sendiri tidak ingkar terhadap Allah